Thursday 18 March 2010

Saifuddin Qutuz (Part 1)

Posted by Aragorn at 11:00:00 pm

Kehebatan Tariq Bin Ziyad dalam meluaskan empayar Islam sudah tentu diketahui ramai. Beliau bersama bala tenteranya mendarat di Jabal Tariq dan menjadi perintis kepada pembukaan Andalusia sekaligus memperluaskan lagi Empayar Umayyah ketika itu.

Sultan Salahuddin Al-Ayyubi juga sudah pasti dikenali ramai. Kegigihan baginda menyatukan umat islam utk merampas kembali Jerusalem yang ditawan oleh tentera salib disebabkan perpecahan umat Islam ketika itu. Ketangkasan dan kehebatan beliau menunggang kuda dan bermain yang digeruni pihak lawan serta semangat jihadnya yang tinggi untuk mendapat keredhaan Allah menjadikan beliau bertambah digeruni.

Begitu juga Sultan Muhammad Al-Fateh yang sudah pasti masyhur namanya. Sebaik-baik pemimpin yang memimpin sebaik-baik tentera dalam ekspedisi mereka menawan Kota Konstantinople yang sukar ditembusi. Meluncur kapal-kapal perang Uthmaniyyah di atas daratan untuk menyerang Kota Konstantinople yang diiktiraf antara strategi peperangan terhebat diabad itu menjadikan namanya masyhur sehingga kini.

Namun, adakah diantara kita mengenali seorang lagi panglima Islam yang juga cukup besar jasanya untuk umat Islam? Siapa lagi kalau bukan Saifuddin Qutuz. Mungkin ada yang sudah mengetahui mengenai beliau dan mungkin ada juga yang tertanya-tanya siapakah Saifuddin Qutuz ini?

Saifuddin Qutuz, seorang lagi panglima Islam yang terbilang. Terkenal dengan kehebatannya beliau memimpin tentera Islam dalam usaha menyekat perluasan kuasa oleh tentera Monggol ketika itu dibawah pimpinan Hulagu Khan. Hulagu Khan, seorang manusia yang bertanggungjawab menjatuhkan Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad sekaligus menjadi punca kepada kemunduran prestasi politik Islam klasik ketika itu.

Sebelum kita pergi lebih jauh, ada eloknya kita mengetahui terlebih dahulu mengenai Kerajaan Monggol.

Kerajaan Monggol

Kerajaan Monggol didirikan oleh Genghis Khan dengan memakai gelaran “Khaqan” yang bermaksud Raja kepada segala Raja. Dia mempunyai tentera yang tetap tidak kurang daripada 600 000 orang. Dia telah menjelajah dan menakluk sebahagian tanah Russia, Polang, Tiongkok dan beberapa Negara Islam yang lain. Beliau mati pada usia 73 tahun dan meninggalkan 4 orang puteranya. Wilayah jajahannya juga dibahagikan sama rata kepada 4 orang puteranya iaitu Juji Khan, Okutai Khan, Toli Khan dan Chagatai Khan.Hulagu Khan pula merupakan anak kepada Toli Khan sekaligus merangkap cucu kepada Genghis Khan.

Kemaraan Monggol ke Negara Islam

Serangan monggol ke atas umat Islam sudah berlaku sebanyak 3 kali bermula zaman Genghis Khan lagi.

1. Serangan pertama Monggol

Berlaku pada tahun 617H -620H. Pendapat mengatakan serangan ini berlaku disebabkan Genghis Khan yang sememangnya sudah lama berniat ingin menjatuhkan Kerajaan Bani Abbasiah. Namun, jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq menjadikan Genghis Khan hanya menumpukan serangannya ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Monggol untuk serangan seterusnya.

Serangan ini berjaya dan tentera Monggol mula bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhstan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian Iran). Kesemua Negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah.

2. Serangan kedua Monggol

Berlaku pada tahun 628 H. Ketika ini, raja kerajaan Monggol sudah digantikan oleh Okitai memandangkan Genghis Khan yang sudah mati. Serangan pada kali ini ditumpukan disekitar bumi Russia dan Eropah.

Suasana ini bertambah buruk apabila pimpinan Islam pada masa itu dalam keadaan berpecah belah. Manakala sebahagian umat pula sudah menunjukkan sikap pengecut mereka dan tiada yang berani untuk melancarkan jihad

3. Serangan ketiga dan kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah (656 H)

Pada ketika ini, Kerajaan Monggol dipecahkan kepada tiga wilayah utama. Raja Monggol ketika ini bernama Manku Khan. Beliau mentadbir ibu Negara iaitu Qaraquram sambil dibantu oleh adiknya Arif Buqa. Seorang lagi adiknya iaitu Qublai Khan pula mentadbir jajahan Monggol disebelah timur meliputi China, Korea dan bumi sekitarnya. Manakala jajahan Monggol disebelah Iran dan bumi sekitarnya diserahkan kepada adiknya, Hulagu Khan.

Dalam misi untuk menakluk dan menyerang Baghdad. Hulagu Khan yang ditugaskan oleh Manku Khan telah melakukan persiapan yang teliti dan kemas. Tentera Monggol telah dipecahkan kepada 3 kumpulan yang dating dari 3 arah yang berlainan.

· Pasukan pertama dipimpin oleh Hulagu Khan sendiri dibantu oleh tentera elit Monggol dibawah pimpinan Bato. Ditugaskan mengepung Kota Baghdad dibahagian timur.

· Pasukan kedua dipimpin oleh Kataghba, pahlawan terbaik milik Hulagu. Ditugaskan mengepung bahagian tenggara Kota Baghdad.

· Pasukan ketiga dipimpin oleh Bigo. Tentera Monggol yang menjaga sempadan Anadol(sekarang Turki). Ditugaskan untuk mendatangi dari bahagian utara seterusnya mengepung bahagian barat Kota Baghdad.

Akhirnya, peperangan meletus di Kota Baghdad dan akhirnya membawa kepada kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah. Dianggarkan umat Islam yang terbunuh dalam serangan tersebut adalah 1 800 000 orang. Satu angka yang sungguh menakutkan. Darah megalir di jalanan. Sejumlah 2 juta naskhah buku dibuang dan dicampak ke dalam sungai sehingga akhirnya membawa kemunduran kepada dunia Islam ketika itu.

Kejatuhan Syam

Kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah memudahkan usaha dan impian Hulagu Khan untuk menakluk benua Timur Tengah. Ianya juga menimbulkan rasa takut dalam kalangan raja-raja di Negara Syam sehingga mereka sanggup menghulurkan tangan persahabatan dan menggadaikan maruah agama semata-mata untuk mendapat jaminan kehidupan daripada tentera Monggol.

Raja Mosul, Badrudin Lu’lu’, Kaikawis II dan Qalaj Arsalan iaitu Raja Anadol, Raja Halab dan Al-Nasir Yusof telah mengambil langkah dengan menghulur persahabatan dan sanggup menyerahkan Negara mereka ke tangan tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan.

Hanya seorang raja sehaja yang berani melancarkan jihad menetang Monggol iaitu Raja Al-Kamil Muhammad Al-Ayubi, Raja Miyafarqin. Miyafarqin merupakan bandar yang terletak kini di timur Turki menuju ke sebelah barat Turki. Namun kegilaan Hulagu Khan menyebabkan Bandar Miyafarqin dikepung dan akhirnya jatuh. Begitu juga Halab dan Damsyik. Kemuncaknya adalah penjajahan Monggol ke atas bumi Palestin


bersambung.......

1 comments on "Saifuddin Qutuz (Part 1)"

Unknown on 31 August 2010 at 22:53 said...

part 2 ble??
lmbat ag ko??
cepat r.. haha

 

SKY IS OVER Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez